Kedutaan Diraja Thailand anjur aktiviti kelas memasak




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. - Kedutaan Diraja Thailand menganjurkan satu aktiviti Kelas Memasak bersama warga UNIKLEARN, An-Nur Harapan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana bertempat di Pusat An-Nur Harapan, Jalan Kebangsaan, di sini.


Hadir menyertai aktiviti berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon bersama isteri, Puan Thanamas Chalermnon serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Diraja Thailand.


Pada majlis berkenaan, Cef Tanaporn Toemkoa dari Kedutaan Diraja Thailand menampilkan demonstrasi penyediaan pencuci mulut tradisional Thailand, iaitu, Luk Chup (marzipan kacang hijau berbentuk buah-buahan) kepada para pelatih dan kakitangan UNIKLEARN.


Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon menjelaskan, ia merupakan aktiviti sukarelawan pertama yang dianjurkan sejak beliau dilantik sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke negara ini pada awal tahun ini.


Program Sukarelawan Diraja yang diasaskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Thailand terang Tuan Yang Terutama, ditubuhkan sebagai penghormatan kepada mendiang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej The Great dan permaisurinya, mendiang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Ratu Sirikit, The Queen Mother, sebagai mengiktiraf dedikasi serta sumbangan mereka sepanjang hayat kepada rakyat dan negara Thailand.


Di barisan hadapan gerakan kesukarelawanan berkenaan tambah TYT lagi ialah Duli Yang Teramat Mulia Puteri Bajrakitiyabha Narendiradebyavati Kromluangrajasarinisiribajra Mahavajrarajadhita, yang telah mangkat pada 11 Jun 2026, dan mendiang juga mengikuti jejak langkah datuk dan neneknya serta menjadi contoh utama semangat kesukarelawanan yang sejati.


Jelas TYT lagi, siri kelas masakan Kedutaan Diraja Thailand telah dilaksanakan bersama UNIKLEARN sejak Ogos 2023 atas inisiatif mantan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke NBD, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai.


Edisi kelima kelas masakan Kedutaan Diraja Thailand ini tambah TYT, menandakan kesinambungan tradisi yang bermakna dan TYT berbesar hati untuk meneruskan kerjasama berkenaan demi manfaat para pelatih serta memperkukuh persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua belah pihak.


“Pada hari ini, saya dengan sukacitanya memperkenalkan Cef Tanaporn Toemkoa, atau lebih dikenali sebagai Cef Kik dari Kedutaan Diraja Thailand yang akan mengendalikan sesi amali pembuatan Luk Chup, iaitu pencuci mulut tradisional Kedutaan Diraja Thailand yang diperbuat daripada pes kacang hijau dan dibentuk menyerupai buah-buahan.


“Kami berharap aktiviti yang berwarna-warni ini akan membawa kegembiraan, merangsang kreativiti serta mencipta kenangan yang indah kepada semua pelatih dan kakitangan An-Nur Harapan," ujar TYT lagi mengakhiri ucapannya.


Close